Melengkapi Ruang Tamu

BEBERAPA PERINGATAN !!!
BUAT SENARAI SEMAKAN

Ingat, ruang tamu bukan untuk kegunaan anda seorang melainkan memang hanya anda sahaja penghuni rumah dan tidak pernah menerima kunjungan tetamu. Jadi, sebelum melengkapkannya dengan peralatan yang diperlukan atau sekiranya anda bercadang melakukan pengubahsuaian, fikirkanlah soalan-soalan berikut. Adakah ruang berkenaan akan digunakan sebagai tempat merai tetamu sahaja atau turut menjadi ruang untuk kegunaan peribadi pada waktu-waktu tertentu? Adakah ruang tamu akan menjadi bising atau senyap? Apakah kegiatan yang biasa dilakukan sekarang dan apakah keperluan atau kegiatan yang bakal dilakukan pada masa depan? Dapatkan ilham dan pandangan daripada semua pihak atau anggota keluarga yang turut menggunakan ruang tamu. Kalau boleh, dapatkan juga pakar seperti juru reka dalaman, arkitek atau jurutera bangunan untuk memperoleh panduan yang betul bagi mengelak pembaikan semula yang pastinya menelan belanja besar. Hadkan perbelanjaan supaya anda tidak terlebih belanja dan akhirnya ruang tamu sarat dengan kelangkapan tidak perlu.

RUANG TAMU TERBUKA

Sesetengah orang gemarkan ruang tamu berasingan yang mewujudkan suasana agak rasmi manakala yang lain lebih suka suasana santai yang mendekatkan mereka dengan setiap ruang di dalam rumah. Ini menyebabkan mereka lebih selesa dengan ruang tamu jenis terbuka yang bersekali ruang makan serta tidak jauh daripada ruang dapur. Golongan ini mahu gerak bebas dan beristirehat di mana –mana sahaja tanpa berasa terkongkong, berbaring bersama ahli keluarga selepas menikmati hidangan malam dan anak-anak dapat melakukan pelbagai kegiatan. Inilah lelebihan ruang tamu terbuka yang bukan sahaja menepati keperluan ahli keluarga dari segi keluasan ruang malah perasaan. Penggunaan perabot dan kemasan yang berlainan sudah memadai untuk membezakan setiap ruang.

HINDARI SUASANA SEMAK

Ruang tamu juga lazimnya menjaga tempat anak-anak bermain. Jadi sediakan tempat penyimpanan secukupnya, terutama jenis berpintu agar ruang sentiasa kemas dan bersih. Boleh juga diletakkan bakul rotan / peti kayu berhampiran sofa, dengan itu selain menjadi perhiasan atau meja sisi ia juga dapat digunakan sebagai tempat penyimpanan sementara jika tetamu datang mengejut. Selain itu, ada sejenis bangku panjang bersarung fabrik yang tempat duduknya boleh dibuka dan berfungsi sebagai peti penyimpanan.

PENCAHAYAAN

Tidak semua orang berpeluang memiliki ruang tamu yang mendapat pencahayaan semulajadi secukupnya pada siang hari. Sebaliknya ada ruang tamu yang agak gelap, mungkin kerana kedudukannya yang dilindungi oleh bangunan lain. Oleh itu, sediakan pencahayaan tambahan. Antara jenis yang boleh dipasang ialah lampu tumpu atau pencahayaan ke bawah yang mampu mewujudkan pelbagai ragam suasana. Lampu gantung dan lampu meja pula penting untuk menerangi meja sisi atau ruang tengah. Lampu halogen rendah voltan bereka bentuk moden yang boleh diubah arah pencahayaannya sesuai dijadikan lampu membaca.

RUANG KERJA

Anda mungkin seorang yang terpaksa berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada rumah tangga. Selepas beberapa tahun, anda mula bosan melakukan kerja-kerja rumah sepanjang hari. Jadi anda bercadang untuk bekerja semula, tetapi kali ini mahu bekerja dari rumah sahaja. Hanya ruang tamu dfikirkan tempat tebaik untuk anda membuat kerja yang diperlukan kerana ia berhampiran ruang dapur dan ruang makan, malah tidak perlu bergegas keluar bilik kalau ada orang datang ke rumah. Bagaimanapun, menambah kegunaan ruang tamu sebagai tempat bekerja memerlukan disiplin kerana selain memastikan keselesaan sepanjang bekerja, anda juga pelu memastikan kelancaran pergerakkan dan suasana ruangtamu yang sentiasa kemas. Tempatkan rak beroda untuk menyimpan buku dan dokumen kerja supaya mudah dialih. Pilih sudut yang sesuai untuk diletakkan meja kerja berserta komputer. Kalau mahu menampakkan ruang tamu yang bergaya, belilah meja kerja yang elok buatan dan reka bentuknya supaya ia turut membentuk sebahagian hiasan. Pastikan talian telefon dan komputer tidak merintangi tengah laluan. Susun peralatan di meja kerja dengan kemas dan teratur supaya tidak tergopoh-gapah mengemas jika tiba-tiba menerima kunjungan tetamu.

DUDUK DENGAN SELESA

Tumpuan utama di ruang tamu ialah keselesaan tempat duduk. Pilihan kerusi dan sofa bergantung kepada kehendak dan kegiatan anda. Kerisa malas sesuai untuk anda duduk membaca atau tidur siang, bangku berkaki tinggi boleh menyebabkan tetamu duduk bertenggek manakala kerusi kayu panjang kurang sesuai untuk untuk ahli kekuarga beristirehat. Tidak salah menggabungkan tempat duduk belainan fungsi dalam satu ruang asalkan kena gaya, reka bentuk dan susunanya.

RUANG BERHIBUR

Sama ada memiliki televisyen layar besar atau kecil, ia mengisi sebahagian besar masa lapang kita d ruang tamu. Jika kehadiran peralatan ini di ruang tamu dianggap penting, maka sofa hendaklah diatur menghadap televisyen. Sebaliknya jika ia dianggap bahan sampingan sahaja, eloklah diaturkan beberapa kerusi atau sofa bersayap berhampirannya dan sofa lain diletakkan berjauhan untuk kegunaan orang lan yang mahu berbual.

LAIN-LAIN

Tidak dinafikan, ruang tamu menjadi tempat tuan rumah mempamerkan perhiasan kegemaran mereka. Himpunan kristal dan barangan kaca antara sering mendapat tempat di runag tamu. Kalau rumah anda sering dikunjungi kanak-kanak, sebaiknya susun perhiasan inin dalam almari bertutup atai di tempat tinggi yang sukar dicapai mereka. Bahkan orang dewasa pun sering tersilap langkah dan kadangkala tersiku bekas bunga atau bekas lilil ksistal yang dipamerkan di atas meja konsul. Jadi pastikan perabot ini tidak diletakkan di tempat orang kerap lalu-lalang. Kalau anda gmar menggunakan sofa fabrik, pilihlah jenis yang sarungnya boleh ditanggalkan untuk cucian. Ataupun guna fabrik gelap yang tidak mudah nampak kotor.

Majalah Anjung Seri Keluaran Februari 2001
RENCANA INI DIPETIK DARIPADA MAJALAH ANJUNG SERI, MAJALAH HIASAN DALAMAN NO 1 MALAYSIA dan setiap rencana YANG HENDAK DISIARKAN MESTILAH MENDAPAT KEBENARAN PENGARANG TERLEBIH DAHULU dengan menghantar emel kepada .