M-F: 6am – 5pm  |   S-S: 10am – 5pm

Keratan Akhbar Elak Hutang Berniaga

Elak berhutang bila berniaga

Tidak ada jalan pintas untuk membolehkan seseorang mencapai kejayaan dengan mudah. Malahan segulung ijazah dan modal yang besar bukanlah satu jaminan untuk mereka menikmati keuntungan lumayan dan dunia perniagaan.

Aebaliknya, seseorang itu hendaklah mempunyai kesedaran diri sendiri, kecenderungan yang mendalam, berkeyakinan tinggi dan semangat kental disamping daya usaha yang berterusan sebagai dokumen penting untuk mengangkat diri setanding rakan-rakan perniagaan lain. Inilah yang telah dibuktikan oleh Abdul Hamid Ahmad, 62, dalam merentasi hidup yang penuh ranjau dan pasang surut sebelum tampil sebagai usahawan berjaya dan disegani dalam bidang pengeluaran perabot berukiran mewah di Johor. Walaupun, beliau bersekolah setakat darjah satu tanpa boleh membaca dan menulis rumi dengan baik namun beliau membuktikan bahawa itu semua bukan penghalang kemajuan diri.

Sebaliknya ia dijadikan asas untuk menilai sejauh mana beliau mampu bersaing dengan rakan-rakannya yang lebih maju. Berdasarkan keyakinan diri dan semangat yang tidak pernah pudar, kini anak kampung yang pernah hidup dalam kemiskinan mampu mengurus dan mengendalikan Perusahaan Hamid Tukang Kayu Sdn. Bhd. salah sebuah syarikat terbesar dalam mengeluar dan memasarkan barangan perabot berukiran mewah. Abdul Hamid atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Pak Hamid’ memulakan rentetan hidup tanpa sebarang harta, pengetahuan malah jauh sekali memeliki segulung ijazah sebaliknya hanya berbekalkan pengalaman panjang sebagai penternak dan tukang kayu biasa.

“Sebagai seorang anak yang miskin tambahan pula bapa saya sudah meninggal dunia ketika saya berusia empat tahun, saya tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menternak kambing oleh datuk saya di kampung Belahan Tampok, Rengit, Batu Pahat,” ceritanya ketika ditemui Utusan di pejabatnya di Jalan Peserai, Batu Pahat, Johor baru-baru ini. Ketika usianya memanjat tujuh tahun, beliau memasuki darjah satu di sebuah sekolah dengan berjalan kaki yang jarak lebih kurang 10 kilometer dari rumahnya dan apabila berlaku Perang Jepun, 1941, Abdul Hamid terpaksa berhenti sekolah.

PERSEKOLAHAN

Bagaimanapun, kegagalannya meneruskan persekolahan itu tidaklah bermakna matlamat hidupnya bertitik noktah. Sebaliknya beliau berkerja mengambil upah memotong rumput, membuat minyak kelapa sambil menebang kayu di hutan dengan upah RM2 dan RM2.50 sehari bersama bapa saudaranya ‘Haji Shafie.’ Di samping itu, Abdul Hamid turut mengekori jejak langkah bapa saudaranya mengambil upah menukang rumah orang sambil membuat kerusi, meja dan sebagainya yang pada waktu itu kurang mendapat perhatian di kalangan masyarakat di kawasan Rengit. “Bila umur saya 13 tahun, saya sudah pandai membuat meja sendiri walaupun tidaklah bagus sangat, buat kasar-kasar tapi minat punya fasal saya buat dengan tekun,” katanya sambil mengimbas kembali kisah silam.

Beliau yang mempunyai lapan orang anak dan 27 orang cucu itu seterusnya menceritakan: “Bermula dari situlah bakat seni ukir saya mula bersinar lalu meneruskan kerja-kerja membuat meja, kerusi dan lain-lain tanpa menghiraukan pandangan tidak sihat masyarakat Melayu waktu itu.” Berasal dari Kampung Bagan, Sungai Kluang, Rengit, pengusaha yang setia dengan kerja-kerjanya ini berkata, berkat jimat cermat yang ditanam dalam dirinya sejak kecil membolehkan dia mengumpul lebih RM1,000 untuk dijadikan modal pusingan serta membina sebuah bengkel kecil. “Saya memperolehi tapak untuk membina sebuah bengkel ukiran di atas tanah yang dimiliki oleh salah seorang penduduk di Rengit (sekarang Balai Polis Rengit) dengan sewa RM20 dan RM30 setahun.

“Masa itu tidak jumpa langsung mesin gergaji, ketam kayu pun pakai tangan sebab elektrik tidak ada, angkat kayu nangka pakai sampan, tapi bila kita rasa seronok buat kerja yang susah pun jadi mudah”, ujarnya. Bagaimanapun, berkat kegigihan dan keyakinan yang sudah lama terdidik dalam dirinya apatah lagi tidak ada anak melayu yang berminat dengan kerja-kerja mengukir lalu Abdul Hamid mengisi ruang itu dengan mendapat khidmat nasihat daripada sebuah agensi kerajaan RIDA (sekarang MARA). “Permohonan saya tidak sampai setahun apabila RIDA menghulurkan bantuan sebuah gergaji mesin, alat pengetam pada tahun 1952 disamping sebuah enjin diesel untuk membolehkan saya meneruskan kerja sebelum dihantar ke Singapura mengikuti kursus sambil belajar.” Melalui pengalaman singkat dan pembelajaran yang diperolehi itulah, Abdul Hamid yang terkenal seorang yang berdisplin dan mementingkan masa berkata, dia seolah-olah mendapat mendapat ilmu baru dengan mencedok seni ukiran Jawa, Indonesia untuk dijadikan asas menggerakkan perniagaannya. Melihat benih-benih kejayaanya, pengurus yang berwawasan jauh ini memberitahu, perniagaanya mula mendapat perhatian di kalangan rakan sebaya yang memohon untuk bekerja mengukir di bengkelnya itu.

“Yang datang mahu kerja waktu itu bukannya pandai mengukir tapi hanya mahukan gaji, jadi saya terpaksa kenakan syarat yang mereka mesti belajar ukir dulu selama 950 hari, bila saya puas hati barulah boleh kerja di bengkel saya,” katanya dengan serius. Sikap tegas dan tidak ‘memberi muka’ kepada pekerja-pekerja mahupun anaknya sendiri diteruskan sampai sekarang yang mana beliau sendiri akan menyampai ceramah dan menyediakan sijil ukiran sendiri kepada mereka yang berminat berkhidmat dengan syarikatnya itu. Abdul Hamid yang mendirikan rumahtangga bersama pasangannya Zabeadah Rasiman, ketika berusia 25 tahun terpaksa berpindah di sebuah kawasan berhampiran kerana tapak asal bengkelnya itu telah diambil alih untuk membina cawangan pejabat polis.

Dengan sewa RM25 & RM30 setahun daripada seorang pemilik tanah Cina, Abdul Hamid merasakan perniagaannya mula meningkat dan tahun 1970, beliau mengambil langkah berani menyewa tapak seluas 0.4 hektar di Jalan Peserai (tempat sekarang) bagi meluaskan lagi pasarannya. “Bermula dari sinilah, perniagaan perabut berukiran mewah saya ini semakin mendapat tempat di kalangan tokoh-tokoh korporat, ahli-ahli politik dan mereka yang meminati barangan perabut mewah bukan setakat di Johor tapi juga di seluruh negara termasuk Sabah & Sarawak.” “Syarikat saya sekarang mempunyai 38 orang pekerja termasuk 5 pekerja mahir dengan upah RM300 hingga RM1500 sebulan.” Dengan kejayaan yang diperolehi, Abdul Hamid terus menubuhkan Perusahaan Tukang Kayu Abdul Hamid Sdn Bhd di mana beliau sendiri bertindak sebagai pengurus besar.

Sesuatu yang paling unik dan menarik pada ahli perniagaan ini ialah sampai sekarang beliau tidak mempunyai ‘bilik khas’ mahupun mejanya sendiri sebagai lambang pengurus besar kerana beliau menganggap kesemua itu perkara remeh. “Perkara yang remeh macam ini tidak payahlah diberatkan sangat. Apa yang penting ialah produk kita mendapat sambutan dan pasaran dapat diperluaskan, dengan itu pendapatan syarikat melebihi sasaran setiap tahun.” ujarnya Abdul Hamid yang terkenal seorang yang paling kreatif dalam kerja-kerja mengukir, terus mencorakkan seni ukirannya dengan mencedok seni ukiran Itali dan Jerman untuk meningkatkan lagi kualiti produknya pada masa akan datang. “Alhamdulillah, sekarang saya rasa tidak ‘diam tangan’ membuat kerja-kerja ini.

Ada saja yang membuat tempahan, otak berfikir macam-macam bentuk ukiran memang seronok,” kata beliau tersenyum lebar di bilik hawa dingin kepunyaan anaknya Abdul Rahman. Perusahaan Tukang Kayu Abdul Hamid Sdn Bhd yang menjadi sebutan ramai itu terus mengorak langkah menyakinkan pelanggan dengan membina sebuah bangunan pameran berharga RM200,000 di hadapan bengkelnya pada tahun 1984 untuk membolehkan orang ramai dan peminat melihat dan menilai perabut ukiran mewah hasil ukirannya. Pelanggan Berpegang kepada prinsip bahawa ” berniaga tidak semestinya pelanggan membeli barang kita,” ahli perniagaan yang berdiri atas keringatnya sendiri ini menambah amalan yang paling tidak digemari ialah berhutang dengan mana-mana institusi kewangan.

Menurutnya amalan seumpama itu kadang-kadang boleh membantu seseorang itu berjaya dalam dunia yang diceburi tetapi jika tidak pandai menguruskannya maka banyak tanah pusaka datuk nenek mereka akan tergadai. “Banyak budak-budak sekarang minat berniaga, tapi tanah pusaka yang jadi sasaran kerana tiba-tiba mahu jadi bos, tapi tidak mahu belajar dari bawah, akhirnya tanah dilelong, ini bukan berniaga namanya” jelas Abdul Hamid lagi. Beliau menasihati mereka yang benar-benar minat berniaga perlulah belajar hidup susah dan sanggup menjadi kuli diri sendiri kerana pengalaman itu adalah terlalu mahal sebelum melangkah ke bidang yang lebih mencabar.

Untuk itu, beliau yang bertatih daripada zaman kesusahan tanpa meminjam sejumlah wang daripada mana-mana bank berkata, zaman jatuh yang dialami tidaklah begitu teruk sangat sampai boleh menggugat masa depannya dalam kerja-kerja membuat perabut. Setelah puas bergelumang dalam serba kepayahan, Abdul Hamid menerusi syarikatnya ini mempunyai anak syarikat yang dinamakan Syarikat Bintang Sdn Bhd yang berfungsi mengurus dan memasarkan barangan perabutnya di bawah urusan anaknya Abdul Rahman sebagai pengurus.

Kata beliau, melalui anak syarikatnya itu, adalah diyakini bahawa barangan perabut berukiran mewah itu secara langsung dapat diperluaskan lagi pasaran bukan setakat dalam negeri malahan ke luar negara. “Saya yakin dengan pengurusan yang semakin mantap dan modal pusingan yang kukuh sekarang, syarikat kami mampu menembusi pasaran luar negara apabila tiba masanya,” kata Abdul Hamid mengakhiri perbualan.

Dipetik dari : Utusan Malaysia,Sabtu 6 Mei 1995